DATANGmu membawa cahaya seluruh alam, Pergimu mengundang pasrah, Kami sentiasa merindui bimbingan dan tauladan, Moga syafaat terus berkekalan. Esok, umat Islam seluruh dunia menyambut kelahiran Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam. Sudah melebihi 1400 tahun, junjungan besar wafat. Setiap tika, masa, tempat dan waktu, umat islam yang sentiasa menyayangi dan mencintai Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam tidak lupa mengingati, bercerita kisah baginda serta mengajak manusia mencintai makhluk yang dicintai oleh Allah. Bukan seperti kita, jarang sekali ingat Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam, hanya ketika Maulidur Rasul ini sahaja. Itupun, digazetkan oleh kerajaan, jika tidak, Akademi Fantasia menjadi sebutan. Tidak hairan, orang sekarang boleh mencela Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam. lebih teruk, orang Islam yang rakyat Malaysia di mana pemimpin menjadi Pengerusi OIC, tidak sunyi dari mengutuk Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam mahupun isteri atau sahabat. Aku tidak mahu bercerita apa yang ada disebalik Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam, cukup banyak ceramah, kuliah di sekeliling kita yang wajib dihadiri daripada kita lepak, menonton tv atau merembang di tengah malam. Jika benar kita orang Islam, sayangkan nabi, tahu erti pengorbanan nabi menentang kafir quraish, maka tidak akan ada kebejatan sosial yang melanda. Bagi kita yang menyambut Maulid Rasul esok, jangan puas sebagai penganjur, peserta perarakan, menang perarakan, tetapi ambil kisah Abu Lahab yang pernah satu ketika terlalu gembira menyambut kelahiran Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasalam, tetapi akhirnya, Allah gambarkan di dalam Surah Al Lahab seksaan manusia yang paling gembira menyambut Nabi Muhammad. Salam Maulidur Rasul 1428 Hijriah. |