Allah Ta'ala berfirman:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengah satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, samada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah betulnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu itu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)".
(Saba': 46)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dengan siang itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Mereka itu ialah orang-orang yang selalu menyebut dan mengingati Allah samada ketika berdiri mahupun duduk ataupun berbaring sambil memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan semua benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka."
(ali-lmran: 190-191) Allah Ta'ala berfirman lagi:
"(Mengapakah mereka yang kafir masih mengingkari akhirat),tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? "Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung-gunung, bagaimana ia ditegakkan? Dan juga keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu, berikanlah peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolak) kerana sesunggunya engkau hanyalah seorang rasul yang memberi peringatan."
(al-Ghasyiyah: 17-21)
Allah Ta'ala juga berfirman:
"Apakah mereka tidak mengembara di muka bumi, serta memperhatikan bagaimana akibat orang-orang (kafir) yang sebelum mereka? Allah telah membinasakan mereka itu; dan orang-orang kafir (yang mengikut jejak mereka) akan beroleh akbiat seperti itu".
(Muhammad: 10)
Ayat-ayat mengenai perkara ini amat banyak sekali. Sesetengah hadis yang berhubungan dengan perkara ini ialah:
Dari Abu Ya'la iaitu Syaddad bin Aus r.a. dari Nabi S.A.W, sabdanya:
"Orang yang cerdik serta berakal itu ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan mengharapkan kemurahan Allah (mengharap kebahagiaan dan pengampunan di akhirat), tanpa beramal solih".
- Hadis hassan diriwayatkan oleh Imam Termidzi |