Saya telah membaca Suara Kampus Edisi Pulau Pinang dari kulit ke kulit dan amat tertarik sekali dengan fokus yang cuba diketengahkan dalam majalah tersebut iaitu "Mendekati Imam As Syaafie". Terdapat juga satu artikel dalam majalah tersebut yang suka saya gambarkan penulisnya adalah seorang yang amat berani dan tegas dalam ilmunya. setelah mendapat keizinan dari penulis, saya ingin berkongsi artikel tersebut dengan pengunjung-pengunjung blog ini. Mudah-mudahan terbukalah minda kita dan beroleh sedikit manfaat. InsyaAllah....
WANITA HADHARI Oleh : Maziah Jamaluddin "Sekeping hati wanita mampu meruntun seribu jiwa manusia." Hak seorang wanita lebih dipelihara oleh si pencari mutiara. Walaupun terdapat ramai pencari bijih, tetapi mereka juga mencari mutiara untuk dikorbankan. Jauhilah mereka dan lihatlah betapa sedikitnya pencari mutiara. Walaupun mereka berusaha mencarinya adakala mereka tertipu dengan bijih yang merata. Hak-hak wanita sangat dijaga oleh pencari mutiara. Dahulu sekiranya sebutir mutiara dicuri oleh si pencari bijih, seluruh dunia bangkit lantang menentang. Sekiranya seorang wanita diganggu oleh lelaki jalanan, seluruh dunia pasti bersuara tetapi hari ini mutiara-mutiara sudah lenyap serta hilang malahan suara-suara lantang menentang beku ditelan zaman. Arus modenisasi kini menyaksikan bahawa wanita hari ini mampu tampil ke hadapan serta mampu menyahut cabaran globalisasi malah mampu menyaingi kaum adam. Namun keghairahan dalam mengejar arus kemodenan kadangkala tersasar dari batasan syara' ataupun tergelincir dari landasan agama tatkala fikrah maddiyyah diletakkan dihadapan. Ramai manusia tidak menyedari bahawa virus yang sudah lama ditanam dan disemai di dalam minda umat islam semenjak dari awal kurun ke-19 ini dengan rakusnyua telah memamah banyak unsur kemuliaan islam. Inilah virus sekular. Setelah virus-virus ini menjajah kotak pemikiran, ia akan mengakibatkan barah sekularisma. Hal ini telah berjaya meresap masuk ke dalam daya fikiran kaum wanita kini yang kebanyakannya mengagungkan fahaman sekularisma hatta sanggup menentang apa yang dibawa agama islam.
Sekularisma sebagaimana yang diinterpritasikan di dalam kamus dewan ialah "kepercayaan bahawa agama tidak sepatutnya mempunyai sebarang pengaruh atau hubungan dengan pentadbiran sebuah negeri, analoginya sama ada di dalam bidang pendidikan ataupun dibidang aturan politik. Oleh itu, untuk mensekularkan sesuatu sistem seperti masyarakat dan pendidikan adalah dengan cara merubahnya sehingga ia tidak lagi berada di bawah kawalan serta landasan agama." Pentakrifan ini diperkuatkan lagi dengan meneliti pandangan ulama tersohor iaitu pandangan Syed Qutb : "seruan kepada pembangunan kehidupan di atas garisan pengetahuan ciptaan manusia dan akal semata-mata (dengan menolak Al Quran dan As Sunnah) dan menilai sesuatu keperluan jauh dari pandangan agama."
Rentetan itu kita dapat melihat timbulnya pelbagai isu kewanitaan yang meniti di setiap bibir masyarakat kita hari ini. Tanggal 30 julai 2007 malaysia digemparkan dengan nasib wanita di negara ini yang semakin tidak terbela menyebabkan segelintir daripada mereka hilang panduan sehingga tergamak membunuh anak sendiri. "Bank Sperma Haram Ada Di Malaysia" adalah satu tajuk yang pernah dipaparkan di salah sebuah dada akhbar pada pertengahan tahun 2007 lalu. Malahan ia menggamit sensitiviti umat islam untuk memikirkannya secara mendalam. Satu undang-undang akan digubal khusus untuk menangani perkhidmatan bank sperma yang ditawarkan di hospital swasta negara Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat khususnya umat islam. Setakat ini tiada rang undang-undang yang menghalang perkhidmatan hospital swasta ini untuk menawarkan sperma kepada pasangan yang tidak subur untuk mendapatkan zuriat walaupun majlis fatwa kebangsaan sudah mengharamkan perkhidmatan bank sperma.
Sekiranya perkhidmatan haram ini tidak dibuka kepada masyarakat islam adakah ini bermakna masyarakat bukan islam boleh mengamalkannya? Saya yakin sekiranya perkara ini berleluasa walaupun tidak dibuka kepada masyarakat islam ia pasti akan menjadi masalah ketika seseorang yang ingin memeluk agama islam. Inilah racun yang cuba disuntik bagi memastikan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa celaru dan rosak. Sekiranya masyarakat bukan islam bersertuju dengan bank sperma ini secara logiknya bermakna mereka turut bersetuju dengan pengamalan ZINA. Adakah mereka sanggup melihat anak yang lahir daripada rahim isteri mereka bukanlah anak mereka yang sebenar? Perhatikan wahai manusia yang mempunyai akal yang khususnya wanita-wanita yang bakal mengandungkan benih tersebut! Sekiranya tidak berlaku sebarang kecelaruan nasab adakah islam boleh melonggarkan pengharaman bank sperma? Tidak! Pengharaman bank sperma bukanlah disebabkan kecelaruan nasab semata-mata akan tetapi pengharamannya adalah seruan Allah SWT. 
Dalam pada itu virus sekular ini juga sudah berjaya meracuni fikiran kaum wanita bergelar artis yang amat berani membotakkan kepalanya kerana satu adegan dalam filem "muallaf" di atas arahan pengarah Yasmin Ahmad hanya disebabkan dasar-dasar kesenian. Ini dapat dibuktikan lagi dengan terpaparnya berita bertajuk "Zip Mulut" yang menceritakan seolah-olah kebenaran berada dipihak Syarifah Amani malahan kesalahan terpalit kembali kepada mufti dan pengkritik-pengkritiknya. Malaysia hari ini sudah memiliki "Tentera Yahudi" yang terdiri daripada kalangan masyarakat Malaysia itu sendiri. Tugas tentera-tentera ini adalah melindungi segala maksiat yang dilakukan oleh orang islam. Mereka hanyalah bertopengkan islam apabila mufti sendiri mengeluarkan fatwa bahawa hukum botak bagi wanita adalah HARAM mereka bangun menentang habis-habisan. Tengoklah sendiri apa sudah terjadi pada Syarifah Amani. Jangan juga kita lupa dengan kes Zouk yang mana seorang artis "muslimah" yang secara terang-terangan membuat makksiat dan yang menariknya ia disokong oleh pihak-pihak tertentu dengan slogan "Hak Asasi Manusia". Dimanakah kehidupan mereka yang sebenar? Dimakah nilai-nilai murni di dalam jiwa mereka selaku seorang islam. Dimanakah nilai-nilai kewanitaan? Apakah puncanya? Dimanakah etika artis? Siapakah yang patut dipersalahkan? Tidak serik lagikah dengan kes Lina Joy yang semakin memberi impak yang parah? Hari ini orang yang ingin menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran ditentang habis-habisan oleh mereka yang melafazkan syahadatain, mengakui Allah SWT satu-satunya tuhan, Muhammad SAW pesuruh Allah SWT. Rakyat Malaysia sekali lagi bakal disajikan dengan hiburan yang tiada kesudahannya apabila Dewan Filharmonik Petronas (DFP) musim ke-10 2007 / 2008 telah mengulangi kecemerlangan yang lalu apabila terus menyenaraikan artis serta pemuzik tempatan dan antarabangsa. Sebnayak 199 konsert artis dan orkestra dalam dan luar negara yang bergema di pentas bertaraf dunia yang menjadi kebanggan rakyat Malaysia itu bermula ogos ini bagi menyambut hari kemerdekaan. Ramai yang mendakwa bahawa artislah pejuang kebangsaan, negara dan sebagainya, akan tetapi itu semua hanyalah umpan yang dipasang untuk memperbodohkan masyarakat itu sendiri supaya terus mengangkat mereka! Melayu yang semakin menghadapi "Revolusi Jahiliyyah" semakin seronok dengan revolusi ini, tetapi mereka langsung tidak berfikir! Sudah macam binatang. Dengan kes zina di tepi jalan semakin meningkat dengan mendadak, arak semakin dipopularkan, artis-artis makin dipuja-puja dan banyak lagi krisis yang semakin menghantui Malaysia, negara yang amat kita cintai, tetapi melayu semakin seronok dengan krisis-krisis ini. Saya cuba mengajak manusia kepada mengingati semula tujuan kita dihidupkan. Pernahkah anda cuba menjawab persoalan, kenapakah kita dibangkitkan di dunia? Tuntasnya, bagaimanakah perempuan ingin menjadikan dirinya sebagai mutiara? Inilah caranya yang mampu mengubah sebutir bijih yang murah kepada sebentuk mutiara yang mahal dan dicari-cari : 1. Memelihara diri dari menjual maruah. 2. Menghiasi diri dengan sifat malu. 3. Mempunyai kesopanan dan adab-adab dalam kelakuan. 4. Menyelami kehidupan dengan kasih sayang kewanitaan. 5. Pertuturan yang lembut dengan kebaikan serta tersirat seribu hikmah. 6. Jauhi dari melanggar sifat kewanitaan. 7. Penuh dengan penghormatan dan kemuliaan. Perempuan, "Murahnya dirimu jika dijual, mulianya darjatmu jika dipelihara.” |